Virus Rabies Dan Tanda-tanda Penyakit Anjing Gila

 

 

APAKAH ITU VIRUS RABIES?

Rabies adalah penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia, yang disebabkan oleh virus. Terdapat dua bentuk manifestasi klinikal jangkitan rabies – galak dan paralitik (kelumpuhan). Rabies galak adalah yang paling umum berjangkit pada manusia.

 

BAGAIMANA VIRUS RABIES BERJANGKIT?

Virus rabies menyerang sistem saraf mamalia, kebiasaannya ia berjangkit daripada air liur haiwan yang dijangkiti apabila menggigit seseorang.  Ia juga boleh merebak menerusi jilatan pada luka atau kesan melecet pada kulit, atau pada lapisan mulut dan hidung.

Anjing adalah penyebab dari 96% kes jangkitan rabies terhadap manusia di Asia Tenggara.  Namun, terdapat juga rabies pada manusia yang disebabkan oleh gigitan kucing, musang, serigala dan haiwan karnivor yang lain.  Jarang berlaku rabies yang berpunca akibat gigitan monyet dan tikus.  Kuda dan keldai akan berubah menjadi agresif dan menggigit dengan ganas apabila dijangkiti.  Sebaliknya, lembu dan kerbau tidak menggigit apabila dijangkiti rabies tetapi langkah pencegahan perlu diambil ketika memeriksa haiwan tersebut yang sakit yang mengeluarkan cairan air liur berlebihan.

Sesetengah pemilik haiwan ternakan kadang kala keliru antara jangkitan rabies dengan penyakit kaki dan mulut, haemorrhagic septicaemia atau tersedak dan berkemungkinan akan cuba untuk memberikan ubat menggunakan tangan, dan dengan demikian dijangkiti virus rabies.

Tidak ada laporan berdasarkan bukti mengenai rabies pada manusia yang terjadi akibat daripada pengambilan susu.  Individu atau pekerja profesional yang menyembelih haiwan yang dijangkiti rabies dan mengendalikan otak serta alatan lain yang telah tercemar, berisiko untuk dijangkiti rabies.  Namun, tidak ada kes rabies manusia yang terjadi akibat pengambilan daging yang telah dimasak.

Jangkitan rabies dari manusia ke manusia melalui transplantasi kornea atau organ lainnya jarang terjadi namun terdapat kemungkinannya.  Jangkitan seperti ini pernah terjadi pada penerima transplan kornea dan baru-baru ini pada penerima organ dan jaringan pembuluh darah.  Oleh sebab itu, kornea atau organ tidak boleh diambil dari seorang pesakit yang meninggal dunia kerana rabies encephalitis atau penyakit saraf yang tidak dapat didiagnosis dengan jelas.

Walaupun pesakit rabies tidak mungkin bertindak menggigit orang lain, penjaga perlu sentiasa berwaspada apabila memberikan khidmat penjagaan dan rawatan, serta elakkan daripada terdedah dengan air liur pesakit.

 

BACA: Pencegahan Rabies Dan Tindakan Yang Perlu Sekiranya Anda Digigit

APAKAH TANDA-TANDA KLINIKAL VIRUS RABIES PADA ANJING?

Anjing rabies menunjukkan perubahan pada tingkah laku normalnya secara tiba-tiba, seperti:

  • Menggigit tanpa sebarang provokasi.
  • Memakan benda tidak lazim seperti ranting kayu, paku, najis dan sebagainya.
  • Kegelisahan, berlari-lari tanpa sebarang sebab yang jelas.
  • Perubahan pada bunyi salakan (contohnya: bunyi salakan yang serak / garau) atau tidak mampu bersuara.
  • Pengeluaran air liur yang berlebihan atau berbuih pada mulut – tetapi bukan takut akan air (hidrofobia).

 

APAKAH TANDA DAN GEJALA JANGKITAN RABIES PADA MANUSIA?

  • Kesakitan atau kegatalan pada luka gigitan (dalam 80% kes yang dilaporkan)
  • Demam, kelesuan, sakit kepala yang berlanjutan sehingga 2 hingga 4 hari
  • Ketakutan terhadap air (hidrofobia)
  • Tidak tahan terhadap bunyi, cahaya terang atau air
  • Takut kepada kematian yang akan berlaku
  • Kemarahan dan kemurungan
  • Kegelisahan dan hiperaktif
  • Pada peringkat berikutnya, kekejangan pada leher dan tekak apabila hanya dengan melihat air
  • Tempoh jangkitan penyakit adalah dalam 2 hingga 3 hari, tetapi boleh berlanjutan hingga 5 ke 6 hari atau lebih jika pesakit menerima rawatan intensif.

 

Kredit: Hospital Umum Sarawak

 

Leave a Comment

CommentLuv badge
%d bloggers like this: