Teknik Mudah Beri Anak Kecil Makan Ubat Picagari

Teknik Mudah Beri Anak Kecil Makan Ubat Picagari

 

Mungkin ada antara anak-anak kita yang memang susah untuk makan atau minum ubat. Masalah ini biasanya lebih kerap berlaku kepada peringkat umur bayi dan kanak-kanak. Tidak hairanlah jika ada ibu bapa yang mengambil berbagai-bagai alternatif bagi memastikan si anak tersayang dapat menelan ubat. Persoalannya bagaimana?

Dr Ezairy M.Sallih ada berkongsi berkenaan teknik mudah beri anak kecil makan ubat picagari. Perkongsiannya seperti di bawah:

Saya akan kongsi 6 cara berkesan berdasarkan pengalaman para ibu bapa pesakit untuk kita cuba amalkan di rumah :

1. Guna picagari. Elak menggunakan sudu. Dos ubat yang diberitahu oleh doktor perlu diikuti. Justeru penggunaan picagari ( picagari in english is syringe)  adalah perlu bagi memastikan anda memberi ubat mengikut kuantiti yang betul dan ia sebenarnya jauh lebih mudah berbanding cara lain. Pastikan juga menggunakan syringe sesuai mengikut kuantiti yang akan diberi. Biasanya 3ml atau 5ml.

2. Teknik yang sesuai dan betul. Saya nasihatkan letakkan anak di dalam pangkuan. Untuk bayi atau anak kecil, pastikan mereka berada di posisi duduk atau separa duduk. Posisi baring menelentang dilihat mudah untuk memberi ubat, namun ia akan meningkatkan risiko ubat untuk masuk ke salur pernafasan dan seterusnya ke peparu. Ini bahaya!

3. Cari ruang dan kawasan yang tenang. Kita pun kalau nak buat sesuatu perkara perlukan ruang yang selesa. Beri ubat kepada anak pun begitu. Penting bagi kita sebagai ibu bapa untuk mencari ruang yang selesa dan cukup pencahayaan. Memberi ubat sama seperti memberi makan atau minum kepada anak. Sekiranya ruangnya sempit, kita juga akan cenderung memberi ubat dengan cara yang tidak betul. Kuantiti ubat yang bakal diberi juga akan terganggu.

4. Jangan paksa anak anda yang sedang meronta-ronta. Ini akan menyebabkan anak anda tersedak dan muntah. Beri peluang mereka tenang dan beri ubat.

5. Beri peluang anak pegang picagari ubat dan letakkan ke dalam mulutnya sendiri. Cara ini banyak membantu ibu bapa. Anda kemudian bantu untuk pastikan ubat dimasukkan ke mulut anak anda.

6. Minta nasihat doktor. Anda boleh minta pandangan dan nasihat daripada doktor yang memeriksa anak anda. Beritahu kepadanya bahawa anak anda mungkin jenis yang amat sukar untuk diberi ubat. Perlu dipegang tangan, kaki dan dipaksa baru boleh diberi. Doktor ini tuan puan, manusia juga. Kami akan cuba beri ubat yang paling sesuai dari segeri kekerapan, kuantiti dan jenis kepada anak dan bayi. Yang penting, komunikasi antara ibu bapa pesakit bersama doktor mesti ada.

Semoga perkongsian kali ini mendatangkan banyak manfaat. Kongsikan kepada orang yang anda sayang.

Kredit: Dr Ezairy M.Sallih

 

Leave a Comment

CommentLuv badge
%d bloggers like this: