Kesan Bahan Racun Campurpalsu dalam Produk Kosmetik

Kesan Bahan Racun Campurpalsu dalam Produk Kosmetik

 

 

Produk kosmetik adalah teman rapat kaum wanita. Produk kosmetik bukan sahaja penting untuk menjaga penampilan malah boleh membantu meningkatkan keyakinan diri. Saban hari, kita diperkenalkan dengan pelbagai jenama produk kosmetik baru dari dalam mahupun luar negara. Syarikat-syarikat produk kosmetik berjenama terkemuka pula saban tahun mengeluarkan produk baru. Pelbagai testimoni dan hasil kajian ditunjukkan di dalam iklan produk kosmetik sebagai sokongan untuk menarik minat orang ramai membelinya.

Tetapi, adakah anda tahu tahap keselamatan sesuatu produk itu? Adakah ia boleh memberi kesan mudarat kepada penggunanya sekiranya digunakan dalam jangkamasa yang panjang? Adakah keberkesanan sesuatu produk itu disebabkan oleh bahan kandungannya yang sangat efektif atau kerana kehadiran bahan racun campulpalsu dalam produk kosmetik tersebut?

Sesuatu produk kosmetik dikatakan telah dicampurpalsu sekiranya ia mengandungi logam berat seperti merkuri (raksa) dan plumbum atau bahan racun berjadual seperti hydroquinone, tretinoin, antibiotik seperti clindamycin atau steroid seperti betamethasone. Oleh itu, berhatilah memilih sesuatu produk supaya tiada bahan racun campurpalsu dalam produk kosmetik tersebut.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL DAN KESANNYA PADA KESIHATAN

Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan diphenhydramine adalah merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

 

Hydroquinone

Hydroquinone adalah  salah satu bahan racun campurpalsu dalam produk kosmetik.  Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit, merawat masalah jeragat dan kulit tidak sekata. Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif. Kesan dari penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

 

Tretinoin

Tretinoin juga adalah bahan racun campurpalsu dalam produk kosmetik.Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan. Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

 

Diphenhydramine 

Produk yang dicampurpalsu dengan diphenhydramine bertujuan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan dan kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit. Penggunaan diphenhydramine tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk.

 

Merkuri

Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan dan boleh memudaratkan kesihatan. Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu. Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

 

 

Kawalan Produk Kosmetik Di Pasaran Malaysia

Di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia adalah bertanggungjawab untuk mengawal aktiviti yang melibatkan produk kosmetik. Semua produk kosmetik yang dijual di negara ini perlu bernotifikasi dengan BPFK. BPFK sentiasa memantau keselamatan dan kualiti produk kosmetik di pasaran tempatan melalui aktiviti Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik di Pasaran di mana pengujian makmal dijalankan ke atas produk kosmetik secara berterusan untuk memastikan ia bebas daripada bahan racun campurpalsu dalam produk kosmetik.

 

Tanggungjawab Pengguna

Walaupun wujud badan seperti BPFK yang memantau produk kosmetik di pasaran, pengguna haruslah berwaspada dan mengambil langkah bijak sebelum membeli dan menggunakan sesuatu produk kosmetik. Sudah menjadi kebiasaan dalam dunia yang serba canggih ini, semua barang boleh didapati di hujung jari. Kewujudan laman-laman sosial juga membuka peluang kepada para peniaga yang tidak bertanggungjawab untuk menjual produk kosmetik yang tidak bernotifikasi.

Sebelum membuat sebarang pembelian, pengguna seharusnya mengesahkan status notifikasi sesuatu produk kosmetik melalui laman sesawang BPFK iaitu www.bpfk.gov.my. Senarai produk kosmetik yang dikesan mengandungi bahan campurpalsu juga boleh disemak di laman web tersebut. Pengguna haruslah sentiasa peka supaya tidak mudah terpedaya. Kita tidak seharusnya mengorbankan kesihatan demi kecantikan sebaliknya perlu mengamalkan cara hidup sihat dan menggunakan produk kosmetik yang selamat dan berkualiti.

 

Sekiranya pengguna mengalami kesan advers selepas menggunakan sesuatu produk kosmetik atau mensyaki ada produk yang berkemungkinan dicampurpalsu, pengguna boleh membuat laporan aduan berkenaan produk tersebut kepada BPFK melalui beberapa cara seperti rajah di bawah:

 

Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Comment

CommentLuv badge
%d bloggers like this: